Rabu, 27 April 2011

Tokoh-Tokoh Sabah

MAT SALLEH
mat_salleh.jpg (5621 bytes)Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.
Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.
Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.
Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.
Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.
Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.
Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.
Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.
Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru.
Setiap penjuru kota dikawal dan terdapatbeberapa terowong atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, 'Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya'.
Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.
Petikan : Kesan Sejarah Dan Tempat-tempat Menarik Negeri Sabah - Negeri Di Bawah Bayu, Mohamed Roselan Abdul Malek, Oscar Book International, 1998

Sejarah Sabah

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

Sabah yang dahulunya pernah dikenali sebagai North Borneo telah mencapai kemerdekaan daripada British melalui penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu. Berdasarkan kepada sumber-sumber sejarah menunjukkan bahawa Sabah pada asalnya merupakan jajahan Kesultanan Brunei. Walau bagaimanapun, pada tahun 1704, sebahagian besar wilayahnya di pantai timur dan utara telah dihadiahkan kepada Kesultanan Sulu sebagai balasan kerana membantu sultan Brunei menewaskan seterunya di Pulau Cermin. Sistem kerajaan berkonsepkan kesultanan di Sabah mula terpadam dalam lipatan sejarah apabila wilayah-wilayah di Sabah diserahkan oleh Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei kepada British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada abad ke-19. Pada tahun 1881, Sabah secara rasminya telah ditadbir oleh BNBCC dan dijadikan negeri naungan kerajaan British pada tahun 1888. Dalam erti kata lain, peralihan tampuk pemerintahan di Sabah telah merubah perjalanan sejarah Sabah daripada tradisional history of Sabah (Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu) kepada modern history of Sabah (BNBCC, Jepun, British) sehingga Sabah bebas daripada belenggu penjajahan dan merdeka dalam persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Sejarah gerakan awal nasionalisme dan penentangan penduduk tempatan dalam bentuk penentangan setempat terhadap penjajah telah wujud sejak zaman pentadbiran BNBCC yang diketuai oleh seorang pembesar Sabah berketurunan Bajau-Suluk bernama Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh dan diteruskan lagi oleh kaum Murut di bawah pimpinan Antanum di Tenom. Walaupun kedua-dua penentangan ini dilakukan secara setempat dan berakhir dengan kegagalan, namun gerakan penentangan yang diketuai oleh Mat Salleh dan Antanum ini sebenarnya telah meletakkan asas kepada penentangan secara kolektif dan lebih berfokus yakni untuk membebaskan Sabah daripada cengkaman penjajah semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di bawah pimpinan Albert Kwok. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Sabah telah diletakkan sepenuhnya di bawah pentadbiran British sebagai sebuah naungan (Crown Colony) pada tahun 1946 hingga 1963.

Perubahan senario politik dunia selepas Perang Dunia Kedua seperti gerakan penentangan penduduk tempatan terhadap kuasa-kuasa Barat di Asia Tenggara dan dunia amnya, penyebaran ideologi komunisme di Asia Tenggara dan yang paling signifiken apabila Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957 telah menguatkan lagi hasrat penduduk tempatan untuk membebaskan dan memerdekakan Sabah daripada British. Hasrat ini akhirnya terjelma apabila Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu telah melontarkan idea penubuhan “Gagasan Malaysia” pada tahun 1961 yang merangkumi Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Sebagai reaksi terhadap idea tersebut, maka beberapa pertubuhan politik seperti United Sabah National Organization (USNO) di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, United National Kadazan Organization (UNKO) di bawah pimpinan Donald Stephen dan lain-lain pertubuhan seperti Pasok Momogun, Parti Bersatu, Parti Demokratik dan lain-lain lagi telah dutubuhkan.

Walaupun pada peringkat awal berlakunya penentangan terhadap idea Gagasan Malaysia daripada parti politik dan negara jiran (Brunei, Filipina dan Indonesia) atas pelbagai sebab yang tersendiri, namun pada akhirnya satu pemuafakatan telah dapat dicapai antara parti politik dan diperkuatkan lagi melalui pungutan suara yang dijalankan oleh Cobbold Commission untuk menyertai Gagasan Malaysia. Akhirnya pada jam 12:00 tengah malam tanggal 15 September 1963, hegemoni British di Sabah yang diketuai oleh Sir William Goode berakhir apabila bendera British secara rasminya diturunkan dan upacara pengisytiharaan Proklamasi Kemerdekaan Sabah melalui Malaysia disempurnakan pada 16 September 1963 oleh Tun Fuad Stephen (Ketua Menteri Sabah pertama) dan disaksikan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama), Tun Abdul Razak (wakil Kerajaan Persekutuan Malaya) di padang Pekan Kota Kinabalu. Sesungguhnya, kemerdekaan Sabah pada hari ini merupakan hasil perjuangan daripada para pemimpin terdahulu dan wajar dipertahankan keluhurannya oleh semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama ke arah merealisasikan misi dan visi 1Malaysia.

Sejarah Malaysia

Pejuang Kemerdekaan Abad ke-20
 
Bumi ini harus terlepas dari belenggu penjajah, itulah tekad penduduk Tanah Melayu Apabila bendera 'Union Jack' diturunkan diiringi lagu God Save The Queen dan bendera Persekutuan dinaikkan, perasaan gembira dan terharu rakyat yang berhimpun di Padang Kelab Selangor Kuala Lumpur pada ketika itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Acara bersejarah yang menandakan berakhirnya era penjajahan di negara ini dan lahirlah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat pada tanggal 31 Ogos 1957. Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (pada 31 Ogos 1957) telah diisytiharkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Bandar Hilir, Melaka.
 
Pemimpin yang bertanggungjawab membawa kemerdekaan kepada negara tidak lain Tunku yang digelar 'Bapa Kemerdekaan'. Kemerdekaan negara sememangnya dirintis oleh Tunku yang memulakan usahanya melalui rundingan dengan kerajaan British pada Januari 1956. Rundingan tersebut berlangsung selama 3 minggu daripada 18 Januari hingga 8 Februari 1956. Kemudiannya pada 9 Mei 1957 Tunku sekali lagi pergi ke London bersama Datuk Abdul Razak Hussain, Ong Yoke Lin dan V.T. Sambanthan untuk meneruskan rundingan. Kata sepakat dicapai dan British bersedia memberikan kemerdekaan. Peranan Tunku, Perdana Menteri yang pertama dalam membawa kemerdekaan Tanah Melayu sememangnya bukan sedikit.
 
Namun sebelum kemerdekaan dicapai oleh rakyat, pelbagai rintangan dan cabaran telah di harungi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Segalanya perjuangan terakhir telah bermula setelah Jepun menyerah kalah. Selepas British menguasai semula Tanah Melayu, cadangan menubuhkan Malayan Union dikemukakan pada Oktober 1945. Sir Harold MacMichael telah datang ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan sultan supaya menyerahkan kuasa politik mereka kepada British. Pada 29 dan 30 Mac 1946 satu persidangan khas anjuran Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kuala Lumpur. Buat pertama kalinya dalam sejarah nasionalisme Melayu, orang Melayu telah dengan lantang mengetepikan kepentingan kenegerian dan bersatu padu menentang rancangan Malayan Union. Kongres tersebut telah berjaya menggabungkan 41 pertubuhan Melayu pada masa itu dan kata sepakat diambil untuk tidak menerima cadangan Malayan Union.
 
Maka pada 1 April 1946 iaitu tarikh asal penubuhan Malayan Union, tidak seorang pun raja Melayu hadir di istiadat pelantikan Gabenornya, Sir Edward Gent. Ini menimbulkan kesedaran kerajaan British bahawa orang Melayu menentang rancangan politik tersebut dan akhirnya cadangan Malayan Union dibatalkan. Dengan pembatalan penubuhan Malayan Union, British sedar bahawa tanpa sokongan orang Melayu rancangan untuk mengadakan satu bentuk pemerintahan di negeri Melayu tidak akan berjaya. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 21 Januari 1946 yang dikenali sebagai Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.
 

Dalam masa yang sama gerakan nasionalis semakin berkembang. Pada 11 Mei 1946 Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Johor Bahru berikutan resolusi yang dipersetujui di Kuala Lumpur (untuk menubuhkan satu parti politik). Dalam kongres tersebut UMNO ditubuhkan. Selain UMNO, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) juga wujud sebagai parti yang berpengaruh dalam mendaulatkan bangsa Melayu. Pemimpin-pemimpinya termasuklah Ahmad Boestamam, Mohtaruddin Laso, Dahari Ali dan Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Mohamad. Terdapat juga kumpulan politik bercorak lebih keislaman dikenali sebagai Hizbul Muslimin yang bermaksud Pertubuhan Kaum Muslimin. Dasar pertubuhan itu ialah menubuhkan sebuah 'Negara Islam'. Golongan ini mengasaskan satu pertubuhan politik iaitu Parti Islam Se-Malaya atau Pas dalam tahun 1951. UMNO diterima oleh British sebagai parti Melayu. Dalam tahun 1949 seorang pemimpin Cina, Tan Cheng Lock telah menubuhkan Persatuan Cina Tanah Melayu (Malayan Chinese Association) iaitu MCA. Pada 1952 MCA diterima oleh UMNO. MCA dan UMNO bersetuju bekerjasama dan menubuhkan Perikatan. Kemudiannya Kongres India Tanah Melayu (Malayan Indian Congress) iaitu MIC ditubuhkan dan terus menyertai Perikatan.
 
Bagi Sabah dan Sarawak perkembangan politiknya agak berbeza daripada negeri-negeri di Semenanjung. Sebelum 1841 kedua-dua negeri merupakan jajahan takluk kerajaan Brunei. Disebabkan beberapa pertimbangan dan keadaan politik, kerajaan Brunei telah menggadaikan Sarawak kepada James Brooke. Dalam tahun 1946 Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak kepada British yang menjadi jajahan British sehingga 1963. Sabah juga digadaikan oleh kerajaan Brunei kepada sebuah syarikat dinamakan The British North Borneo Chartered Company. Syarikat itu memerintah Sabah dari 1881 hingga 1946 sebelum diserahkan kepada kerajaan British. Sabah dan Sarawak kemudiannya menyertai Rancangan Malaysia pada 1963