Rabu, 27 April 2011

Sejarah Sabah

SEJARAH KEMERDEKAAN SABAH

Sabah yang dahulunya pernah dikenali sebagai North Borneo telah mencapai kemerdekaan daripada British melalui penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang diilhamkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu. Berdasarkan kepada sumber-sumber sejarah menunjukkan bahawa Sabah pada asalnya merupakan jajahan Kesultanan Brunei. Walau bagaimanapun, pada tahun 1704, sebahagian besar wilayahnya di pantai timur dan utara telah dihadiahkan kepada Kesultanan Sulu sebagai balasan kerana membantu sultan Brunei menewaskan seterunya di Pulau Cermin. Sistem kerajaan berkonsepkan kesultanan di Sabah mula terpadam dalam lipatan sejarah apabila wilayah-wilayah di Sabah diserahkan oleh Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei kepada British North Borneo Chartered Company (BNBCC) pada abad ke-19. Pada tahun 1881, Sabah secara rasminya telah ditadbir oleh BNBCC dan dijadikan negeri naungan kerajaan British pada tahun 1888. Dalam erti kata lain, peralihan tampuk pemerintahan di Sabah telah merubah perjalanan sejarah Sabah daripada tradisional history of Sabah (Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu) kepada modern history of Sabah (BNBCC, Jepun, British) sehingga Sabah bebas daripada belenggu penjajahan dan merdeka dalam persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Sejarah gerakan awal nasionalisme dan penentangan penduduk tempatan dalam bentuk penentangan setempat terhadap penjajah telah wujud sejak zaman pentadbiran BNBCC yang diketuai oleh seorang pembesar Sabah berketurunan Bajau-Suluk bernama Mohammad Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh dan diteruskan lagi oleh kaum Murut di bawah pimpinan Antanum di Tenom. Walaupun kedua-dua penentangan ini dilakukan secara setempat dan berakhir dengan kegagalan, namun gerakan penentangan yang diketuai oleh Mat Salleh dan Antanum ini sebenarnya telah meletakkan asas kepada penentangan secara kolektif dan lebih berfokus yakni untuk membebaskan Sabah daripada cengkaman penjajah semasa pendudukan Jepun (1942-1945) di bawah pimpinan Albert Kwok. Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Sabah telah diletakkan sepenuhnya di bawah pentadbiran British sebagai sebuah naungan (Crown Colony) pada tahun 1946 hingga 1963.

Perubahan senario politik dunia selepas Perang Dunia Kedua seperti gerakan penentangan penduduk tempatan terhadap kuasa-kuasa Barat di Asia Tenggara dan dunia amnya, penyebaran ideologi komunisme di Asia Tenggara dan yang paling signifiken apabila Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1957 telah menguatkan lagi hasrat penduduk tempatan untuk membebaskan dan memerdekakan Sabah daripada British. Hasrat ini akhirnya terjelma apabila Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Tanah Melayu telah melontarkan idea penubuhan “Gagasan Malaysia” pada tahun 1961 yang merangkumi Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Sebagai reaksi terhadap idea tersebut, maka beberapa pertubuhan politik seperti United Sabah National Organization (USNO) di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha bin Datu Harun, United National Kadazan Organization (UNKO) di bawah pimpinan Donald Stephen dan lain-lain pertubuhan seperti Pasok Momogun, Parti Bersatu, Parti Demokratik dan lain-lain lagi telah dutubuhkan.

Walaupun pada peringkat awal berlakunya penentangan terhadap idea Gagasan Malaysia daripada parti politik dan negara jiran (Brunei, Filipina dan Indonesia) atas pelbagai sebab yang tersendiri, namun pada akhirnya satu pemuafakatan telah dapat dicapai antara parti politik dan diperkuatkan lagi melalui pungutan suara yang dijalankan oleh Cobbold Commission untuk menyertai Gagasan Malaysia. Akhirnya pada jam 12:00 tengah malam tanggal 15 September 1963, hegemoni British di Sabah yang diketuai oleh Sir William Goode berakhir apabila bendera British secara rasminya diturunkan dan upacara pengisytiharaan Proklamasi Kemerdekaan Sabah melalui Malaysia disempurnakan pada 16 September 1963 oleh Tun Fuad Stephen (Ketua Menteri Sabah pertama) dan disaksikan oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun (Yang di-Pertua Negeri Sabah pertama), Tun Abdul Razak (wakil Kerajaan Persekutuan Malaya) di padang Pekan Kota Kinabalu. Sesungguhnya, kemerdekaan Sabah pada hari ini merupakan hasil perjuangan daripada para pemimpin terdahulu dan wajar dipertahankan keluhurannya oleh semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama ke arah merealisasikan misi dan visi 1Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan